Puasa Enam Menampung Kekurangan
===========
1. Antara hikmah disyariatkan puasa enam ialah supaya amalan sunat ini membantu menampung kekurangan yang berlaku dalam ibadah fardu puasa ramadan. Mereka yang berpandangan sebegini merujuk kepada hadis yang menyebutkan tentang kekurangan solat fardu akan ditampung dengan amalan solat sunat. Rasulullah bersabda:
إن أول ما يحاسب الناس به يوم القيامة من أعمالهم الصلاة قال يقول ربنا جل وعز لملائكته وهو أعلم انظروا في صلاة عبدي أتمها أم نقصها فإن كانت تامة كتبت تامة وإن انتقص منها شيئا قال انظروا هل لعبدي من تطوع فإن كان له تطوع قال أتموا لعبدي فريضته من تطوعه ثم تؤخذ الأعمال على ذاكم
“Perkara pertama yang akan dihitung oleh Allah pada hari kiamat nanti adalah solat. Allah berkata kepada malaikat: Perhatikan solat hambaku, apakah ianya sempurna atau ada kekurangan. Sekiranya solatnya sempurna, maka tuliskan baginya pahala yang sempurna. Namun sekiranya ada kekurangan, maka lihatlah andai sekiranya hambaku ada menunaikan solat sunat. Sekiranya dia menunaikan solat sunat, maka sempurnakannya pahala solat fardunya itu tadi dengan pahala solat sunat kemudian ambillah pahala amalan tersebut dan berikanlah ganjaran. (HR Abu Daud).
2. Dalam menjelaskan mengenai perkara ini al-Imam Ibn Rajab menjelaskan:
أن صيام شوال وشعبان كصلاة السنن الرواتب قبل الصلاة المفروضة وبعدها فيكمل بذلك ما حصل في الفرض من خلل.
"Sesungguhnya puasa enam dan puasa syaaban adalah seperti amalan solat sunat rawatib sebelum dan sesudah solat fardu. Amalan sunat ini menampung kekurangan yang ada pada amalan fardu tersebut sekiranya berlaku kelompongan pada amalan fardu." (Lataif Maarif)
3. Selain itu, puasa enam turut dikatakan menyempurnakan pahala amalan berpuasa selama setahun. Ini berdasarkan hadis Nabi yang menyebutkan:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim)
4. Para sarjana hadis menjelaskan bahawa setiap amalan manusia akan dilipatkali-gandakan menjadi 10 pahala. Ini berdasarkan hadis yang menyebutkan:
جعل الله الحسنة بعشر أمثالها فشهر بعشرة أشهر وصيام ستة أيام تمام السنة
“Allah menjadikan setiap kebaikan dengan sepuluh kaliganda ganjaran. Maka puasa sebulan itu (sekiranya digandakan dengan sepuluh akan) bersamaan puasa 10 bulan, dan puasa enam (pahala yang menjadi 60 hari bersamaan 2 bulan) akan melengkapkan bilangan puasa seperti puasa setahun.” (HR al-Nasa’i)
5. Lalu sementara kita duduk di rumah dan tidak ke mana-mana ini, marilah berusaha menunaikan ibadah puasa enam. Semoga Allah membimbing kita.
Kredit :Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/myhadithtime
No comments:
Post a Comment