Sunday, 1 May 2022

FORGIVE BUT NOT FORGET

FORGIVE BUT NOT FORGET

Ada satu ungkapan yang selalu kita dengar, ‘Forgive but not Forget’ yang bermakna bahawa kita dapat memaafkan seseorang  tetapi tidak mungkin untuk kita melupakan kesilapan dan kesalahan orang tersebut. 

Sebahagian pula  yang berpendapat sekiranya anda memaafkan tanpa melupakan apa yang orang tersebut lakukan kepada anda sebenarnya anda belum memaafkannya lagi atau paling tidaknya anda belum cukup ikhlas.

Sebenarnya kita perlu membezakan antara ungkapan memaafkan dan melupakan.
Persoalannya, secara realiti kita boleh melupakan segala kesalahan orang kepada kita selama ini?

Menurut perspektif psikologi kognitif, adalah mustahil kita boleh melupakan segala peristiwa yang terakam di minda kita sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk.

Kita selalu medengar kisah Wahsyi pembunuh Hamzah yang akhirnya masuk Islam dan bertaubat di atas dosa lampau. Adakah Rasulullah SAW memaafkan dan pada masa yang sama melupakan segala tindakannya sebelum ini ?

Wahsyi menceritakan 
”Aku pun keluar bersama mereka ( rombongan )sehingga sampai kepada Rasulullah SAW. Ketika melihatku Baginda bertanya: “Adakah engkau Wahsyi?” Aku menjawab: benar.” Baginda bertanya lagi: “Adakah engkau yang membunuh Hamzah?” Aku berkata: “Halnya adalah seperti apa yang telah sampai kepadamu.” Baginda bersabda: “Bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku?”

Mesej ungkapan Nabi “bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku “ adalah sangat Jelas, Nabi memaafkan Wahsyi tetapi tidak boleh memadamkan ingatan Nabi kepada peristiwa kejam tersebut.

Berikut prinsip Nabi kepada orang yang pernah melalukan kesalahan kepada baginda.

1. Tiada cakap buruk
Biarpun dengan hanya sepatah perkataan, Nabi tidak pernah bercakap buruk tentang individu-individu yang pernah memusuhinya.

2. Tidak mengungkit
Biarpun dengan hanya satu ayat, Nabi tidak pernah bercakap tentang sejarah dan peristiwa lama bagaimana musuhnya pernah menzalimi dirinya. Apabila musuh-musuhnya masuk Islam, sepatah pun Nabi tidak ungkit kesalahan lalu mereka.

3. Tidak mahukan permohonan maaf
Nabi tidak pernah mahukan permohonan maaf dari musuh-musuhnya atas kesalahan mereka kepadanya, baik sebelum mahupun selepas mereka masuk Islam.

4. Tidak ada syarat
Nabi tidak meletakkan biarpun hanya satu syarat kepada musuhnya yang mahu berubah menjadi pengikutnya. 

Justeru apa yang penting ialah kita berusaha memberi kemaafan tanpa memaksa diri untuk melupakan apa yang pernah dibuat oleh orang lain kerana ia adalah di luar kemampuan kita sebagai manusia.

Semoga kita termasuk dari sifat orang yang bertakwa yang disebut oleh Allah.

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

(Surah A-li'Imraan ayat 134) 

Kredit : Ustaz Ahmad Shukri Yusoff
Hujung Ramadan 1443 H
Kuala Terengganu.




No comments:

Post a Comment