TIPS MENGGAPAI KHUSYUK SOLAT
Hidup yang berjaya dan bahagia, itulah impian setiap manusia. Hidup yang senang dan lapang, jauh dari kekusutan yang mengganggu tenang.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya." (Surah al-Mu’minun: 1-2)
Ibn Kathir dalam mengulas tentang firman Allah SWT ini mengatakan, orang beriman yang berjaya itu adalah orang-orang yang khusyuk di dalam solatnya. Orang yang merendahkan diri dalam sujud kerana patuh kepada segala perintah dan takut akan azab seksaan-Nya.
Namun, apakah usaha yang boleh kita lakukan untuk menggapai khusyuk dalam solat, sehingga akhirnya kita mencapai kejayaan dan kebahagiaan dunia akhirat yang diimpikan?
Para ulama membahagikan cara menggapai khusyuk dalam solat berdasarkan al-Quran dan hadis kepada beberapa bahagian iaitu:
1) Sebelum mendirikan solat
2) Ketika hendak mendirikan solat
3) Semasa mendirikan solat
Menggapai khusyuk sebelum mendirikan solat
1) Solat pada awal waktunya.
Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya tentang amalan yang paling utama, jawab baginda:
الصَّلاَةُ فِى أَوَّلِ وَقْتِهَا
“Solat di awal waktunya.”
(HR Abu Daud, no. 426)
2) Berwuduk dengan sempurna.
Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat, maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah: 6)j78
3) Bersugi
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ وُضُوءٍ
Maksudnya: “Jikalau tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali wudhu’.”
(HR al-Bukhari)
4) Memakai pakaian yang kemas dan bersih
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-‘A’raf: 31)
Menggapai khusyuk ketika hendak mendirikan solat
1) Mengingati mati dan membayangkan solat yang akan didirikan sebagai solat yang terakhir.
Sabda Rasulullah SAW:
اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ
Maksudnya: “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan memperelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).” (HR al-Baihaqi)
2) Membayangkan diri kita sebagai seorang hamba yang tidak punya apa-apa, namun diberi peluang untuk berbicara dan memohon secara langsung dengan Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
إنَّهُمْ كَانُوا۟ يُسَٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا۟ لَنَا خَٰشِعِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang selalu bersegera dalam mengerjakan perkara-perkara baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap serta cemas. Mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada kami” (al-Anbiya :90)
Menggapai khusyuk semasa mendirikan solat
1) Memilih tempat yang sesuai untuk mendirikan solat, dengan menjauhi tempat-tempat yang dilarang oleh baginda SAW.
Diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a.:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ : فِي الْمَزْبَلَةِ ، وَالمَجْزَرَةِ ، وَالمَقْبَرَةِ ، وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ ، وَفِي الحَمَّامِ ، وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ ، وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ.
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW melarang daripada melakukan sembahyang di tujuh tempat, iaitu: dalam tempat buangan sampah, di tempat sembelihan, di atas kubur, di tempat lalu lalang, dalam bilik mandi, di tempat rehat unta dan di bahagian atas Baitullah.” (HR al-Tirmidhi)
2) Tenang dalam setiap pergerakan solat (tamakninah)
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَدَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ " ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.” (HR al-Bukhari)
3) Menghayati setiap bacaan dalam solat
Diumpamakan solat itu seperti bicara seorang hamba secara langsung dengan Tuhannya, maka perlulah difahami setiap bacaan di dalam solatnya. Bacaan paling utama yang menjadi rukun solat ialah bacaan al-Fatihah. Hayati dan fahamilah maksud setiap ayat di dalam surah tersebut, agar ia dapat menambah kekhusyukan di dalam solat.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya: “Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi kandungan al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menutupi hati mereka)?” (Surah Muhammad: 24)
Sahabat, mari sama-sama kita menilai semula solat yang kita dirikan, adakah telah mencapai tingkatan khusyuk yang para ulama’ gariskan? Benar, untuk menghasilkan kesempurnaan dan khusyuk solat bukan mudah, namun kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh, agar pada akhirnya kita dapat menikmati kemanisan dalam beribadah dan mendapat keredaan Allah SWT.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ ومِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada hati yang tidak khusyuk, dan dari doa yang tidak diperkenankan.”
Allahumma ameen. 🤲🏻
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
Asma’ binti Harun.
#UAHSahabatDuniaAkhirat
No comments:
Post a Comment