Kerjasama semua, kita mampu ulangi kejayaan
Kes jangkitan baharu COVID-19 di negara kita dijangka kekal tinggi dalam beberapa hari lagi dengan purata 3,000 kes sehari.
Kes-kes ini adalah hasil pendedahan kepada virus COVID-19 bagi tempoh 14 hari lalu iaitu sebelum 13 Jan lalu.
Selepas 26 Jan iaitu 2 minggu selepas PKP, kes baharu dijangka menurun sedikit namun tidak terlalu ketara.
Selepas 4 minggu PKP, keberkesanan putuskan rantaian jangkitan akan dapat dilihat dengan lebih ketara.
Usaha melandaikan keluk jangkitan dapat dicapai dijangka pada Mei atau Jun seperti yang dijelaskan sebelum ini oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan diterajui YB Dato' Sri Dr Adham Baba terus mempertingkatkan fasiliti kesihatan bagi menampung bilangan pesakit.
Antaranya, menubuhkan Hospital Bersepadu di MAEPS yang akan beroperasi 24 Jan ini hasil kerjasama pelbagai agensi lain.
Selain itu, sebanyak 14 lagi hospital COVID-19 dibuka di Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor, Kedah, Sabah dan Sarawak untuk menempatkan pesakit tahap 3, 4 dan 5 dengan keseluruhan 539 katil.
Bagi mengurangkan kesesakan di PKRC, pesakit tahap 1 dan 2 yang memenuhi syarat selepas penilaian risiko, dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.
Kesihatan mereka akan dipantau setiap hari selama 10 hari berturut-turut menggunakan aplikasi MySejahtera yang telah dikemaskini bermula 15 Jan lalu.
Jika bergejala, aplikasi MySejahtera akan menghantar maklumat ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk tindakan termasuk menghantar ambulans jika individu itu bergejala teruk.
Namun, bagi negeri-negeri yang masih mempunyai tempat, pesakit tahap 1 dan 2 akan dihantar ke pusat kuarantin kerana matlamat asal KKM ialah menempatkan individu positif di satu tempat yang dikhaskan untuk mudahkan pemantauan dan kawalan.
Individu positif yang belum dihubungi PKD juga boleh mendaftar sendiri nama mereka menggunakan aplikasi MySejahtera yang telah dikemaskini itu.
Ini antara usaha KKM yang akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi membendung penularan jangkitan daripada tidak terkawal.
Usaha ini hanya akan berjaya dengan kerjasama semua pihak tanpa mengira status. Dengan situasi semasa, seluruh negara perlu berganding bahu demi membantu negara mengawal penularan jangkitan.
Kita pernah mencapai kejayaaan melandaikan lekuk dan mencatatkan zero jangkitan tempatan.
Dengan semangat kerjasama yang sama, kita sekali lagi mampu mengulangi kejayaan itu.
Kita berusaha dan kepada Tuhan kita berdoa agar negara kita dilindungi dan penularan jangkitan COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment